Saturday, January 19, 2008

Introduction of EKOMAR

Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) UKM adalah satu daripada lima Pusat Kecemerlangan Penyelidikan di Fakulti Sains dan Teknologi yang telah mendapat mandat daripada pihak pengurusan UKM untuk menyelaras penyelidikan berkaitan marin. Fakulti telah memberi kepercayaan kepada Prof. Madya Dr Che Abd Rahim Mohamed sebagai Penyelaras EKOMAR supaya mengerakkan aktiviti pusat ini semoga ianya terkenal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Bagi menjayakan hasrat ini pengurusan EKOMAR telah mengadakan mesyuarat setiap dua bulan sekali untuk membincangkan aktiviti pusat penyelidikan ini. Lima jawatankuasa kecil telah dibentuk bagi menggerakkan aktiviti EKOMAR iaitu promosi dan pasaran; kemudahan prasarana penyelidikan; hubungan luar; mencari dana penyelidikan dan operasi; serta penerbitan dan persidangan.

Pengurusan EKOMAR sedang giat berusaha membangunkan pusat kemudahan EKOMAR-Mersing yang dijangka mula beroperasi pada bulan Mac 2008. Kemudahan ini adalah sementara sebelum satu komplek pusat penyelidikan kekal bakal dibina di pantai Sungai Puchong, Mersing. Kemudahan penyelidikan yang ada di EKOMAR-Mersing terbuka kepada semua ahli fakulti dan universiti. Pengambilan kakitangan sokongan akan diajukan kepada pengurusan fakulti dan universiti dari semasa ke semasa supaya setiap rancangan penyelidikan dapat dijalankan sepenuhnya. Untuk jangkamasa panjang, EKOMAR bercadang mempunyai bot penyelidikan yang dapat digunakan oleh ahli universiti dalam menerokai penyelidikan di Laut China Selatan dan lautan lepas.

Semasa penubuhan EKOMAR, penyelidikan yang menjadi tumpuan adalah mengikut kemampuan ahli dalam fakulti mahupun di universiti tetapi mengalaskan lima bidang penyelidikan utama iaitu oseanografi & eksplorasi; biodiversiti & pemuliharaan marin; bioteknologi marin; teknologi & keselamatan maritim; dan ekonomi marin. EKOMAR berhasrat mengadakan penyelidikan yang tersusun di kepulauan Arkipelago Sibu-Tinggi di pantai timur Johor yang mempunyai sebanyak 13 buah pulau. Malah daerah Mersing yang kaya dengan alam flora-fauna yang terdiri daripada hutan bakau, hutan simpan, pinggir pantai yang berbatu dan berpasir menanti kehadiran penyelidik-penyelidik dari dalam dan luar UKM. Tidak hanya dengan flora-fauna, daerah ini juga sesuai untuk penyelidikan kemasyarakatan, sosial ekonomi dan penyelidikan tahap kesihatan penduduk setempat. Pelbagai hasil penyelidikan seperti buku, monograf, pascasidang dan penulisan saintifik perlu diusahakan sejajar dengan penyelidikan yang dilakukan.

Dalam usaha untuk menaikkan nama EKOMAR setanding dengan pusat penyelidikan lain yang ada di Malaysia, pihak pengurusan sedang mengadakan pelbagai promosi melalui laman sesawang, seminar, pameran, kerjasama penyelidikan dan penerbitan. Bermula dari awal tahun 2007 EKOMAR telah mengadakan dua aktiviti besar iaitu Simposium Ekosistem pada Mei 2007 dan Pameran 50 Tahun Kemerdekaan. Sebuah monograf berkaitan ekosistem marin telah dikeluarkan bersama Jabatan Taman Laut Malaysia pada awal bulan Januari 2007. Untuk merancakkan penerbitan, pihak EKOMAR sedang berusaha mengumpul manuskrip yang berkaitan dengan penyelidikan di pantai timur Johor dari dalam dan luar UKM untuk dikeluarkan dalam bentuk monograf ke-2 bulan Jun 2008.

Ahli-ahli EKOMAR bersama pihak pengurusan fakulti sedang bertungkus lumus untuk mengeluarkan sebuah buku (coffee table book) pada Jun 2008 yang memperihalkan keindahan ekosistem marin yang wujud di perairan Malaysia. Dalam mengenengahkan nama EKOMAR di mata dunia penyelidikan, pengurusan EKOMAR sedang merancang mengadakan simposium antarabangsa pada Jun 2009 dengan harapan manuskrip yang terpilih akan diterbitkan dalam jurnal.

Satu lagi usaha dilakukan untuk memperkenalkan EKOMAR ialah dengan melantik penyelidik-penyelidik dari dalam dan luar negara sebagai Fellow Bersekutu, dan usaha ini akan berterusan sehingga wawasan EKOMAR tercapai. Akhir sekali saya berdoa semoga usaha murni ini, dapat memperkenalkan EKOMAR di mata dunia sebagaimana terkenalnya Ocean Research Institute (ORI), The University of Tokyo, Japan.

Sekian. Terima kasih.

1 comment:

pakteh said...

Dear Ekomar
Congratulations on your beautiful blog, keep it up and keep it going with more news on activities